4) Pengalamanku Bergelar Seorang Guru
Thursday, November 22, 2018 @ November 22, 2018
| 0 comments ✿
Sudah hampir setahun aku meniggalkan pelajar-pelajarku di Sekolah Kebangsaan Basia Lama, sungguh diri ini terasa amat rindu pada murid-muridku itu. Tahun 2017, itulah tahun pertama aku bergelar sebagai seorang guru Bahasa Inggeris. Meskipun aku hanya mengajar selama beberapa bulan kerana menggantikan tempat guru yang cuti bersalin sebelumnya, tetapi beberapa bulan itu banyak mengajarku erti kehidupan sebenar.
Memang tidak dinafikan, itu bukanlah kali pertama aku memasuki alam pekerjaan ini. Malah, sebelum ini aku pernah berkhidmat di bahagian hal ehwal pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Jadi pengalaman itu aku bawa bersama selama aku menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Basia Lama.
Suasana persekitaran di kampung itu ternyata berbeza dengan suasana aku ketika di bangku sekolah dahulu. Di kampung itu, persekitarannya sungguh damai dan aman. Pohon-pohonnya yang hijau, udaranya yang masih segar, dan haiwan-haiwan ternakan yang berkeliaran. Ternyata masih ada lagi kampung yang mengekalkan suasana begitu.
Pada mulanya, memang tidak dinafikan agak sukar bagiku untuk mendekatkan diri aku dengan pelajar-pelajar ini. Maklumlah ini adalah kali pertama aku menjadi seorang guru. Tetapi Alhamdulillah semakin lama aku semakin faham akan rentak pelajar-pelajarku ini. Aku ditugaskan untuk mengajar pelajar darjah satu, darjah lima dan darjah enam. Walaupun tahap pendidikan pelajar-pelajar sekolah ini agak terkebelakang jika mahu dibandingkan dengan pelajar-pelajar di bandar, tetapi semangat mahu menuntut ilmu pada anak-anak ini memang kuat.
Banyak yang telah aku pelajari dari murid-muridku ini. Meskipun, aku seorang guru tetapi aku juga banyak belajar dari murid-muridku ini. Kesusahan hidup itu mendewasakan kita. Itu yang aku belajar dari murid-muridku ini.
Terima kasih murid-muridku.
 |
| Pelajar Darjah 6 |
 |
| Pelajar Darjah 6 |