Nia;
5) Kumpulan Sajak Hasil Tulisanku
Thursday, November 22, 2018 @ November 22, 2018 | 0 comments


        Baru-baru ini, aku telah selesai menulis lima buah sajak kerana ini merupakan sebahagian daripada tugasanku pada semester pertama ini. Sebelum ini, aku memang tidak pernah mencuba untuk menulis sajak kerana rasa tidak mempunyai bakat dalam bidang ini. Namun, selepas menulis sajak-sajak ini, aku semakin meminati bidang sastera ini. Benar, sungguh indah sastera melayu ini. Aku berazam untuk terus menulis dan meneroka bidang sastera melayu ini. 

Sajak 1: Syurga
Bonda,
Sungguh aku merindukan belaian kasih darimu,
Juga tanganmu yang mendidiku sejak kecil sehingga kini.

Bonda,
Kau bagaikan penawar,
Buat hati anakmu yang sedang lara. 


Bonda,
Segala air mata yang pernah kau titiskan kerana anakmu ini,
Aku amati dengan penuh kekesalan.

Ayahnda,
Sungguh aku merindukan bait-bait kata nasihat yang pernah kau lafazkan,
Ku bawa ia sebagai pedoman hidupku kini.

Ayahnda,
Segala jerih perihmu yang pernah kau taburkan untuk keluarga ini,
Akan ku kenang sepanjang zaman.

Ayahnda,
Ampunkan aku jika diri ini,
Pernah terlupa akan segala pengorbananmu.

Aku sering berdoa kepada Ilahi
Moga jagakan syurgaku ini,
Kerana diri ini tiada disisi,
Hanya doa kudus ku iring sebagai pengganti.



Sajak 2: Ujian
Kau datang tanpa dipinta,
Alam bagaikan mengerti,
Hati yang meronta penuh kekecewaan ini.

Aku di sini masih tertanya,
Mengapa kau tiba di saat ini,

Namun tuhan semestinya lebih mengerti,
Apa yang aku perlukan ketika ini.

Kini aku lebih memahami,
Ujian ini mendekatkan diriku pada Ilahi.

Kemanisan iman kian dapat ku rasai,
Pabila tubuh ini bersujud pada Ilahi.

Tiada apa yang ingin ku pohon lagi,
Cuma detik yang lebih untuk aku beribadat kepada Ilahi. 


Sajak 3: Masa
Masa
Sungguh masa itu pantas berlari,
Semakin ku kejar,
Semakin ia menghindar.

Pernahkah kau terfikir,
Untuk berhenti seketika,
Sehingga esok tiba,
Aku masih terhenti di sini.

Di lorong-lorong kehidupan itu,
Aku masih gigih mencari,
Antara realiti atau fantasi,
Masih jua tidak ku temui.

Bulan dan bintang menjadi saksi,
Aku di sini masih mencari,
Harapku suatu hari nanti,
Supaya masa itu dapat ku genggami. 


Sajak 4: Si Comel
Di lubang yang penuh kegelapan itu,
Ku memandangmu dengan penuh simpati.

Tubuhmu yang kecil ku genggam penuh erat,
Ku bersihkan mu dari segala lumpur dan kotoran.

Ku berikan mu makanan dan minuman,
Sehingga kini kau membesar menjadi si comel yang sihat.

Ketika diri ini sedang bergembira,
Kau juga bagaikan turut tersenyum gembira.

Ketika diri ini sedang berduka,
Kau masih disisi seakan mengerti hati yang sedang lara.

Tiba masanya untuk aku pergi demi meneruskan hidupku kini,
Kau seolah mengerti akan kepergianku ini,

Ku tinggalkan dikau bersama keluarga tercinta.
Semoga kau terus dilindungi.



Sajak 5: Pendosa
Aku sering mendengar,
Hati seorang pendosa itu hitam bagaikan arang,
Hati seorang warak itu putih bagaikan sekuntum puspa.

Namun bumi ini bagaikan mentari yang senantiasa berputar,
Manusia hina itu boleh berubah menjadi malaikat,
Manusia mulia itu boleh berubah menjadi penjahat.

Itulah kehidupan,
Tidak perlu menjadi hakim untuk menghukum,
Kerana syurga neraka itu kepunyaan Ilahi. 

"When you can't find the sunshine"
"Be the sunshine"