14) Penantian Selama 3 Tahun Kini Berakhir!
Friday, November 23, 2018 @ November 23, 2018
| 0 comments ✿
Setelah
hampir tiga tahun aku menunggu saat ini, Alhamdulillah kini aku telah
dianugerahkan dengan segulung diploma dalam
jurusan Bahasa Inggeris. Tidak dinafikan pelbagai dugaan dan cabaran telah aku
hadapi selama dua tahun tempoh pembelajaranku dalam bidang Bahasa Inggeris ini.
Namun Alhamdulillah, kini aku telah
bergelar sebagai alumni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Memang pada mulanya aku tidak meminati jurusanku ini kerana aku merasakan bahawa penguasaanku terhadap Bahasa Inggeris
ini tidak lah sehebat jika ingin dibandingkan dengan rakan-rakanku yang sememangnya berasal dari ibu kota.
Namun, semakin hari aku semakin dapat mengatasi dan meyakinkan diriku bahawa
aku boleh melakukan ini.
Selama dua tahun berada di UPSI, aku
telah mempelajari banyak perkara tentang kehidupan. Memang itulah kali pertama aku
berjauhan dengan keluargaku. Namun, aku dapat mengenal erti kesusahan apabila berjauhan dengan ibu dan bapaku. Di Universiti
ini persekitarannya ternyata amat berbeza dengan ketika di sekolah dahulu. Segalanya kita perlu
lakukan dan berusaha sendiri. Aku bersyukur kerana walaupun berada jauh dari keluargaku, ibu dan
bapaku sering bertanyakan khabar dan memberi semangat kepadaku ketika aku ingin
berputus asa. Aku juga bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan yang baik dan
sering membantuku dalam tugasan-tugasanku sebelum ini.
Dua tahun bergelar mahasiswi di UPSI
banyak mengajarku erti kehidupan sebenarnya. Tidak mudah untuk aku sampai ke
tahap ini meskipun hanyalah sekadar diploma. Kini, aku bergelar mahasiswi di
UPM dan pengalamanku ketika diploma dahulu banyak membantuku dalam
tugasan-tugasanku ini.
Ini adalah hadiah untuk ibu dan bapaku
yang banyak berkorban untuk melihat aku berjaya sehingga ke tahap ini. Terima
kasih Allah SWT, terima kasih mama abah, terima kasih adik dan kakak, terima kasih pensyarah-pensyarah dan
terima kasih rakan-rakanku. Tanpa kalian aku tidak mungkin sampai ke tahap
ini. InsyaAllah, tiga tahun lagi aku bakal memegang segulung ijazah pula.