Nia;
2) UPM di Hatiku
Sunday, September 30, 2018 @ September 30, 2018 | 0 comments


Sudah hampir tiga minggu aku berada di bumi UPM ini, tiada perasaan lain yang dapat kugambarkan melainkan kegembiraan. Suasana di UPM ini agak berbeza jika dibandingkan dengan suasana di kampung halamanku dan tempat ku menuntut ilmu ketika aku berumur 18 tahun dahulu iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pada mulanya aku berasa agak kekok kerana selama ini aku dilahirkan dan dibesarkan di pekan kecil sementara UPM pula terletak berhampiran dengan ibu kota. Tetapi setelah beberapa minggu berada di sini, aku mula terbiasa dengan keadaan sekeliling.

Minggu pertama aku memasuki kuliah, segalanya berjalan dengan lancar, mungkin kerana aku sudah mempunyai pengalaman belajar beberapa tahun sebelum ini. Aku berkenalan dengan rakan-rakan seperjuangganku yang baru. Rata-rata mereka ini datang dari latar belakang yang berbeza denganku. Ada yang dari Utara, Timur mahupun Selatan. Sungguh aku kagum, kerana aku yakin walaupun kami semua datang dari negeri yang berbeza, akan tetapi kami mempunyai niat yang sama iaitu ingin menjadi seorang mahasiswa dan mahasiswi yang berjaya.

UPM mempunyai fasiliti yang amat baik dan canggih dari segi keselamatan, teknologi, sukan, kesihatan dan sistem pengangkutan. Kemudahan bas disediakan untuk memudahkan para pelajar untuk ke kuliah. Kemudahan di kolej yang disediakan oleh pihak pengurusan untuk pelajar juga selesa untuk digunakan. UPM juga mempunyai kemudahan lain seperti  padang golf dan ladang kuda. Oleh itu, aku berasa amat selesa belajar di UPM sepanjang beberapa minggu ini


UPM sememangnya terkenal dengan keindahan buminya yang menghijau serta tempat-tempat yang kaya dengan permandangan yang cantik. Aku benar-benar teringin untuk menjejakkan kakiku di tempat-tempat menarik di sekitar UPM. Akan ku pastikan sebelum tamatnya pengajianku dalam bidang komunikasi ini, aku akan pergi ke semua tempat itu.  



"When you can't find the sunshine"
"Be the sunshine"