Nia;
3) Ulasan Cerpen Kasut Kelopak Jantung
Sunday, September 30, 2018 @ September 30, 2018 | 0 comments



Semasa aku di tingkatan satu, aku pernah membaca sebuah cerpen yang ternyata sehingga kini amat memberi kesan terhadap hidupku iaitu sebuah cerpen komsas karya Kamal Khalid Kamarludin yang berjudul Kasut Kelopak Jantung. Sejak kecil, aku sememangnya tidak berapa gemar membaca cerpen mahupun novel, akan tetapi segalanya berubah apabila aku mula membaca cerpen Kasut Kelopak Jantung ini kerana ia merupakan sebuah cerpen komsas tingkatan satu.

Cerpen ini mengisahkan tentang pengorbanan seorang pelajar sekolah rendah yang berusaha untuk mendapatkan ilmu di sekolah walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan akibat kemiskinan hidup. Ahmad seorang pelajar di sebuah kawasan pedalaman yang hidup dalam kemiskinan tetap tabah dan cekal dalam menuntut ilmu. Manakala, Cikgu Harun merupakan seorang guru yang ditugaskan untuk mengajar di sekolah tersebut.

Segalanya bermula apabila Ahmad sentiasa ke sekolah dengan hanya berkaki ayam dan menimbulkan kemarahan Cikgu Harun. Walaupun sudah berkali-kali Ahmad dimarahi, namun dia tetap ke sekolah dengan tidak memakai kasut. Apabila kemarahan Cikgu Harun kian memuncak, dia menghukum Ahmad dengan mengarahkan Ahmad memakai kelopak jantung dan tali raffia sebagai kasut. Ahmad perlu memakai kasut kelopak jantung tersebut sehingga dia mempunyai kasut sekolah.

Namun, segalanya berakhir apabila Cikgu Harun pergi melawat Ahmad di rumahnya setelah mengetahui hajat Ahmad untuk menamatkan persekolahannya akibat malu kerana harus ke sekolah dengan berkasut kelopak jantung. Hati Cikgu Harun menjadi sedih dan pilu selepas melihat kedaifan rumah Ahmad dan keluarganya. Apa yang lagi memilukan apabila Cikgu Harun melihat Ahmad masih lagi memakai kasut kelopak jantung yang dibuat olehnya. Cerpen ini berakhir dengan usaha Cikgu Harun membelikan Ahmad kasut dan baju baru. Selepas beberapa dekad, Ahmad kini merupakan seorang pengurus besar di sebuah syarikat kasut.

Cerpen ini mengajarku agar lebih menghargai nikmat kemewahan dalam kehidupan. Meskipun aku bukan lah dari keluarga yang berada, namun aku bersyukur segala keperluanku dapat dipenuhi oleh kedua-dua ibu dan bapaku. Aku kini lebih menghargai nikmat dan pemberian tuhan terhadap diriku serta berjanji akan belajar bersungguh-sungguh hingga ke akhir nafasku.


Image result for kasut kelopak jantung
Gambar diambil dari Google.com




"When you can't find the sunshine"
"Be the sunshine"