1) Minggu Pertamaku di Bumi UPM
Sunday, September 16, 2018 @ September 16, 2018
| 0 comments ✿
Sudah menjadi impianku sejak di bangku
sekolah lagi untuk melanjutkan pengajian di salah satu universiti terkemuka di
Malaysia iaitu Universiti Putra Malaysia(UPM). Alhamdulillah impianku kini
bukanlah hanya angan-angan sahaja, aku telah diterima masuk ke UPM untuk
menyambung pengajianku dalam bidang ijazah sarjana muda komunikasi. Kali
pertama aku menjejakkan kaki di UPM, terasa diri asing di tempat baru namun
harus aku gagahkan diriku kerana aku kini membawa harapan keluargaku yang ingin
melihat aku sebagai seorang graduan yang berjaya pada suatu hari nanti. Aku
telah ditempatkan di kolej 14 bersama rakan-rakan sebilikku yang rata-rata
mengambil jurusan bahasa jerman.
Aneh!
perasaan yang gembira bertukar menjadi sedih dan pilu apabila keluargaku kini
ingin kembali ke kampung halaman. Ini bukanlah kali pertama aku berjauhan
dengan keluargaku, malah sebelum ini aku juga pernah melanjutkan pengajian di
Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) selama dua tahun. Selesai sahaja sesi
pendaftaran bagi pelajar baru, maka minggu Perkasa Putra telah pun bermula. Aku
dan rakan-rakan yang lain dikerahkan untuk ke dewan putra bagi sesi taklimat
pertama. Kami diasingkan mengikut kolej masing-masing. Aku bersyukur kerana aku
tidak keseorangan, rakan baikku sejak zaman diploma juga ditempatkan bersamaku
di kolej 14.
Minggu Perkasa Putra ini dijalankan selama
seminggu. Pelbagai aktiviti telah pun diatur dengan teliti untuk pelajar baru.
Kami juga telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan tentang universiti ini.
Aku kagum apabila mengetahui bahawa UPM merupakan salah satu universiti yang
terkemuka di dunia yang juga mempunyai pelbagai fasiliti yang bertaraf
antarabangsa. Malah, ramai pelajar antarabangsa telah memilih UPM sebagai
destinasi untuk menyambung pengajian mereka. Sepanjang minggu Perkasa Putra,
aku telah mempelajari pelbagai perkara baru. Semangat cintakan kolej juga telah
pun dipupuk sejak hari pertama lagi di UPM ini. Memang aku tidak menafikan
bahawa minggu itu merupakan antara minggu yang paling memenatkan dalam hidupku,
tetapi pengalaman ini tidak akan dapat aku lupakan.
Terima kasih UPM kerana menerimaku, aku berjanji akan menjadi mahasiswa yang
berjaya dan akan membanggakan keluargaku dan pihak universiti satu hari nanti!
 |
Setbelum majlis bacaan ikrar bermula
|
 |
Sesi taklimat bersama fakulti
|
 |
Latihan cheers antara kolej
 |
Kolej 14
|
|
 |
| Sesi taklimat di dewan besar |